Followers

Jumaat, 20 Mei 2011

2 Minggu Bergelar Guru Praktikum

Benar cakap orang guru itu lilin. Panas, membahang tetap teguh di pondok usang yang dahagakan ilmu itu. Tiada istilah jemu dan jelak ketika melangkah ke kelas!

Bermula minggu kedua, cabaran kini sudah tergalas berat di bahu kiri dan kanan. Pergi sekolah tatap buku, balik sekolah tatap buku. Rutin harian yang bakal digalas. Bekerja dengan manusia memerlukan ketabahan untuk tidak jatuh tersungkur ke lantai.Sesungguh dan sebenarnya aku masih teraba-raba mencari dan menyedut momentum 'keguruan'. Walau hanya bergelar sebagai seorang guru praktikum tetapi tanggungjawabku kini sudah terasa berat. Terkadang ingin sahaja aku menangis dan angkat kaki balik ke rumah.


Aku kini menggalas tanggungjawab yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana guru praktikum UPSI sebelum ini. Aku merupakan keluaran pertama UPSI yang perlu mengajar subjek Pengajian Am. Ini berikutan dengan  major aku iaitu Pengajian Am dan istimewanya aku tidak mempunyai minor kerana major aku sudah meliputi subjek BM, Geo, Sej, Politik dan sebagainya. Mahu atau tidak aku perlu memikul tanggungjawab ini. Malah, aku turut dibekalkan dengan subjek Bahasa Melayu tingkatan 4 bagi memenuhi kredit mengajar 10-12 waktu smggu. Walaupun aku gusar tetapi aku sudah bertekad bahawa aku tidak akan sesekali membenarkan diri untuk berkata terpaksa. Jalan ini sudah menjadi pilihan hati jadi aku mahukan keikhlasan dalam meneruskan perjuangan ini.


Dua minggu sudah di sekolah, perjuangan dan kesabaranku sebagai seorang guru praktikum benar-benar teruji. Aku diuji oleh kerenah guru-guru tetapi aku tidak mahu mempersoalkan mereka kerana mereka ialah seorang guru yang benar-benar mampu manakala aku pula hanya insan yang baru memulakan langkah untuk menjadi seperti mereka. Aku turut diuji oleh pelajar. Aku hampir menangis namun aku katakan pada hati aku tidak akan sesekali membenarkan air mata ini jatuh dek kerenah pelajar yang tidak tahu menghormati aku sebagai guru mereka. Gagal atau sebaliknya aku hanya mampu berserah!


Kini, berbekalkan 12 minggu lagi di SMK Munshi Abdullah, aku hanya mampu berserah dan menguatkan lagi semangatku. Aku di sini dengan harapan ibu dan ayah. Andai tiada mereka, 2 minggu ini sudah cukup membuatkan aku rebah di bumi. Hanya pada Allah aku sujud supaya aku diberikan kekuatan dan keikhlasan hati dalam mendidik anak bangsa ini. Menjadi seorang guru itu tidak mudah jika tiada keikhlasan dalam bicara dan perlakuan. InsyaAllah, semoga aku jua bisa menjadi warga pendidik seperti 'mereka'.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...